Firman ALLAH SWT

Sabda Rasulullah SAW

Kalam Tinta Dari Ku

Wednesday, February 3, 2010

Part 7 : Pertempuran Merebut Cinta Pertempuran Keenam Qawadih (Pencacat Ibadah)


Arwah datuk ku pernah berpesan : Bila hamba berlagak hamba, Raja akan sayang kepadanya. Tetapi bila Raja berlagak hamba, RAJA KEPADA SEGALA RAJA (ALLAH) akan sayang kepadanya.



Pertempuran ke 6 : A'qabatul Qawadih : Pencacat Ibadah

1. Muqaddimah Perkara Mencacatkan Ibadah
2. Riyak
3. Ujub
4. Perkara Yang Mendorong Kepada Ujub dan Riyak
5. Kesan Sifat Riyak & Ujub Ke Atas Diri dan Masyarakat
6. Jalan Penyelesaian : Ubat Kepada Penyakit Riyak & Ujub

1. Muqaddimah Perkara Yang Mencacatkan Ibadah

Dalam menyelusuri perjalanan menghampirkan diri kepada Allah SWT, seseorang muslim yang telah berjaya melalui 5 halangan yang menagih pertempuran, terpaksa pula melalui dan menempuh halangan yang ke-6. Halangan yang ke-6 ini juga terpaksa ditempuhi dengan usaha yang gigih bagai seorang tentera bertempur di medan perang. Malah halangan yang ke-6 inilah yang menjadi titik tolak, sama ada, 5 pertempuran yang pernah di menangi sebelum ini, dapat digunakan dalam mentaati Allah SWT serta menjauhi larangan Nya. Kegagalan dan kekalahan dalam pertempuran yang ke-6 ini menyebabkan si pejuang terpaksa berundur semula ke titik permulaan. Dan mendaki semula tangga pertempuran dari awal satu per satu. Inilah kesan kekalahan dalam pertempuran yang ke-6. Halangannya tidak banyak. Hanya dua. Namun impak yang berlaku amat besar, mendalam serta merugikan individu. Maka dengan itu pertempuran yang ke-6 ini dinamakan sebagai pertempuran berhadapan dengan perkara yang mencacatkan ibadah. Ada dua perkara yang menyebabkan ibadah seseorang menjadi cacat. Yang pertama ialah riyak dan yang kedua ialah ujub. Andainya pada pertempuran yang ke-6 ini kita tertewas, maka kita terpaksa mengulangi kembali kesemua pertempuran yang sebelumnya dalam menghampirkan diri kepada ALLAHSWT demi merebut cinta dan kasih-sayang dari-NYA.

2. RIYAK

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. (Al Baqarah ayat 264)

Apakah makna riyak ? Riyak ialah ungkapan atau pekerjaan yang dilakukan dengan niat selain dari mengharapkan keredaan Allah. Membuat sesuatu kerana ingin dipuji atau takut dikeji. Setiap amal dilakukan demi mengharap penghargaan dari makhluk dan bukan Al Khaliq Yang Maha Agung. Lebih malang, sifat riyak ini sanggup menafikan kebenaran, walaupun dirinya tahu apa yang dilakukan itu suatu kemungkaran. Dan yang paling hina dan malang, bukan setakat sanggup menafikan kebenaran dan mendewakan kemungkaran, Mereka yang mempunyai sifat riyak ini kerana kerakusan sanggup menentang kebenaran walaupun dirinya tahu, kebenaran itu adalah hakiki. Inilah yang berlaku kepada Azazil.

Kisah

Azazil adalah Tok Guru kepada kepada seluruh malaikat. Ibadahnya kepada Allah banyak. Ada riwayat yang menyatakan Azazil beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Allah.

Dalam satu riwayat menceritakan, akan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat satu suratan berkenaan : Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat.

Maka menangislah Israfil kerana khuatir, makhluk yang tersurat di Loh Mahfuz itu adalah dirinya. Maka diceritakanlah Israfil kepada segala malaikat pengalamannya melihat apa yang tersurat di Loh Mahfuz. Maka menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang untung nasib mereka.

Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi tok guru kepada para malaikat, agar Azazil akan mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun mendoakan keselamatan di dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat dengan doa :

Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)

Malangnya, kerana ego dan sombong, serta merasakan dirinya sudah selamat, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. Selepas mendoakan kesemua para malaikat, Azazil terus menuju ke syurga. Di atas pintu syurga, Azazil terlihat suratan yang menyatakan :

Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat.

Berkatalah Azazil kepada Allah dalam keadaan tak sedar, hamba terlaknat yang dimaksudkan itu adalah dirinya. Kata Azazil : Ya Rabbi ! Izinkanlah aku melaknat hamba mu itu.

Dan Azazil melaknat dirinya tanpa disedarinya selama 1000 tahun.

Dan tatkala Allah menciptakan Adam dari segumpal tanah, lalu Allah memerintahkan seluruh makhluk untuk tunduk menghormati Adam, maka tunduklah segala makhluk menuruti perintah Allah KECUALI Azazil. Azazil rasa maruahnya tercabar kerana dirinya yang dicipta dari api sangkaannya lebih mulia dari Adam yang dicipta dari tanah. Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis.

Apabila Iblis diturunkan ke bumi, berkata Iblis kepada Allah :

Iblis : Demi kemuliaan Engkau dan kebesaran Engkau Ya Allah, akan aku sesatkan seluruh anak Adam selagi ada roh di jasad mereka.

Dan Allah berfirman : Demi kemuliaan Ku dan Kebesaran Ku, tidak aku halang mereka yang engkau sesatkan dari melakukan taubat selagi tiada nafasnya di ghargharah (suara orang ketika nazak) iaitu tiada nyawanya di halkum.


Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekamunya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir. (Al Baqarah 34)

Rasulullah SAW juga telah bersabda: "Sesungguhnya yang paling saya takutkan pada kamu adalah syirik paling kecil" Para sahabat bertanya: "Apa yang dimaksudkan syirik paling kecil itu?" Baginda menjawab: "Riyak." Sesungguhnya Allah SWT berfirman pada hari semua amal hamba dibalas (hari kiamat): "Datangilah orang yang dulu kamu tunjukkan amal kamu padanya di dunia, lihatlah apakah kamu mendapatkan balasan daripada mereka." (Hadis riwayat Ahmad dan Al Baghawi. Syekh al Albani berkata: sanadnya baik (jayyid)," lihat Salasilah Hadis Sahih)

Azazil tahu bahawa Adam AS adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, dan Azazil juga tahu bahwa hanyasanya Allah Yang Maha Agung Lagi Maha Berkuasa, namun Azazil sanggup menjadikan dirinya Iblis laknatullah. Iblis menentang kebenaran yang sememangnya diketahui olehnya, semata-mata kerana riyak dan merasakan diri sempurna. Apa yang dilakukan oleh Iblis ialah kerana ingin mengharapkan penghargaan makhluk, kerana dulu dia merupakan Tok Guru kepada para malaikat. Mana mungkin Tok Guru kepada para Malaikat mesti tunduk menghormati seorang manusia yang dibuat dari tanah yang hina bernama Adam ? Seandainya penghargaan makhluk yang dicari, nah inilah natijahnya, kemurkaan Allah yang diperolehi. Oleh itu marilah kita berusaha untuk mengikhlaskan hati. Kerana lawan kepada sifat riyak adalah ikhlas.

Diriwayatkan, apabila hamba Allah yang riyak menuntut pahala amalannya pada hari Kiamat, Allah Taala lalu berfirman: “Tidakkah Aku luaskan untukmu tempat kedudukanmu di majlis-majlis? Tidakkah Aku jadikan engkau pemimpin manusia di dunia? Tidakkah Aku murahkan (permudahkan) urusan perniagaanmu? Apakah kamu tidak dimuliakan?”

Riwayat ini bermaksud, tuntutan pahala daripada hamba Allah itu tidak diperkenankan, kerana amalannya tidak ikhlas. Cukuplah untuk dia mendapat manfaat dunia yang menjadi matlamatnya.

Diriwayatkan lagi, bahawa malaikat membawa naik ke langit amalan hamba Allah dengan sukacitanya. Tetapi Allah berfirman:

“Lemparkan amalan itu ke neraka Sijjin. Sesungguhnya dia (hamba Allah itu) mengerjakan amalan itu bukan kerana-Ku”.

Mengikut riwayat yang lain: Pada hari Kiamat, kedengaran seruan yang dapat didengar oleh semua makhluk, “Hai, orang-orang yang menyembah manusia! Berdirilah kamu, ambillah pahala daripada orang yang kerananya kamu kerjakan amalan kamu itu. Aku tidak menerima amalan yang dikaitkan dengan yang lain daripada-Ku”.

Seterusnya diriwayatkan lagi, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya syurga itu berbicara, katanya, ‘Aku ini haram bagi setiap orang yang bakhil, riyak, pengadu-domba dan pendengki”.

Mengikut Imam al-Ghazali: “Bakhil dalam Hadis tersebut membawa maksud, bakhil yang sejahat-jahat bakhil, iaitu bakhil daripada mengucapkan La ilaha illallah, Muhammadun Rasulullah. Manakala riyak itu pula ialah sejahat-jahat riyak, iaitu riyak orang munafik, menunjuk-nunjuk imannya dan tauhidnya dengan kata-kata dan perbuatan, tetapi di dalam hatinya berlainan.

Orang yang tidak mengatasi bakhil dan riyak tersebut atau tidak membebaskan diri daripada serangan kedua-duanya, akan menerima kecelakaan dan akan terjatuh dalam kekufuran, lalu terluput daripada syurga dan berhak kekal dalam neraka”.

Dalam satu riwayat yang panjang, Abu Hurairah menyatakan, Rasulullah bersabda, bahawa orang-orang yang mula-mula diseru pada hari Kiamat ialah:

· lelaki yang membaca / menghafaznya al-Quran,
· lelaki yang banyak harta,
· lelaki yang terkorban dalam perang sabil.

Kepada lelaki yang membaca / menghafaz al-Quran, Allah Taala berfirman, “Tidakkah Aku ajarkan engkau apa yang Aku turunkan melalui Rasul-Ku?”.

Apabila lelaki itu menjawab, “Ya, wahai Tuhanku”, Allah berfirman lagi, “Apa yang engkau amalkan dengan apa yang engkau ketahui di dalam al-Qur’an itu?”.

Jika lelaki itu berbohong, Allah berfirman kepadanya, “Engkau dusta!”. Para Malaikat juga turut berkata demikian. “Engkau sebenarnya mahukan sebutan / pujian orang. Sesungguhnya apa yang engkau mahu itu engkau telah dapat dan itulah ganjaran untukmu”.

Kepada orang kaya pula Allah berfirman, “Tidakkah Aku kurniakan kekayaan kepada engkau sehingga engkau tidak perlukan bantuan orang lain?”.

Jawab orang kaya, “Ya, wahai Tuhanku”. Lalu Allah berfirman lagi, “Apakah yang engkau lakukan dengan kekayaan yang Aku kurniakan itu?”.

Jika orang kaya itu menjawab, dia gunakan hartanya untuk menghubungkan silaturrahim dan bersedekah, Allah lalu berfirman dan diikuti oleh para malaikat. “Engkau berdusta! Sebenarnya engkau mahu dikatakan orang, bahawa engkau pemurah. Engkau telah memperolehi apa yang engkau mahu itu dan itulah ganjaran untukmu!”.

Demikianlah juga, firman Allah kepada lelaki yang terkorban dalam perang sabil, apabila dia berbohong dengan mengatakan, “Engkau perintah kami berjihad fi sabilillah, maka aku berjihad. Dalam perang sabil aku membunuh dan akhirnya aku dibunuh”.

Ibnu ‘Abbas pula meriwayatkan, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya neraka dan penghuninya menjerit-jerit kerana orang-orang riyak”.

Ibnu ‘Abbas bertanya, “Kenapa mereka menjerit, ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab, “Kerana terlalu panas api yang digunakan untuk menyeksa orang-orang riyak”.

Orang yang mengerjakan amal kebajikan kerana berkehendakkan manfaat dunia, walaupun manfaat itu diharapkan daripada Allah (bukan daripada manusia) adalah juga termasuk dalam riyak, iaitu riyak khusus.

Menurut ulama, “riyak” itu adalah berdasarkan apa yang dikehendaki, bukan daripada siapa kehendak itu diminta. Tak kira, sama ada daripada Allah Taala atau daripada manusia, jika manfaat dunia yang dikehendaki, maka itu dikira riyak. Habuannya hanyalah di dunia semata-mata. Oleh sebab itu Rasulullah S.a.w memberi amaran bahawa riyak itu merupakan SYIRIK yang terkecil.

Firman Allah Taala, mafhumnya:

“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” Surah As Syuura : Ayat 20

Jika manfaat dunia yang dikehendaki untuk dijadikan bekalan beribadat, maka itu tidak dikira riyak, kerana manfaat itu bukan bersifat duniawi semata-mata, tetapi bercampur dengan manfaat ukhrawi.

Jadi, niat untuk mencapai matlamat kebajikan ke jalan akhirat bukan dikira riyak. Umpamanya, kita berusaha mencari pengaruh atau berusaha untuk mendapat penghormatan orang ramai dengan cara meninggikan taraf hidup kita, semata-mata dengan tujuan agar kerja kebajikan kita, misalnya kegiatan dakwah, mendapat sokongan dan sambutan yang akan mendatangkan hasil yang diharapkan atau mendapat kejayaan yang cemerlang.

Hal seperti itu dikatakan sebagai usaha untuk mencapai matlamat kebajikan (untuk akhirat), kecuali jika pengaruh dan penghormatan itu untuk memperolehi kemuliaan, kebesaran, kemasyhuran, kemegahan dan keadaan yang bersifat duniawi yang lainnya.

Peringkat Riyak

1- Riyak Akbar (Besar)

Riyak akbar ialah melakukan ibadat kerana mahu sesuatu dari manusia dan bukannya kerana Allah SWT. Riyak ini adalah berpaling terus daripada Allah secara keseluruhannya. kerana ia berkiblatkan manusia sepenuhnya.

2- Riyak Asghar (Kecil)

Riyak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan sesuatu dari manusia dan sesuatu dari Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riyak ini lebih ringan daripada riyak akbar kerana orang itu masih menghadap pada Allah, cuma ada juga berharap pada manusia dari sudut lain.

3- Riyak Jali ( yang terang )

Riyak ini ialah menggalakkan seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riyak ini dia tidak berminat atau tidak mahu langsung untuk melakukan amal ibadat.

4- Riyak Khafi ( yang tersembunyi )

Riyak ini pula ialah riak yang tersembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat. Jika tidak ia akan malas-malas dan tidak bersungguh untuk beribadah.


Melindungi diri dari penyakit Riyak

Sesungguhnya penyakit yang paling besar serta mematikan yang menimpa hati manusia , serta dapat menjadikan amalan-amalan sia-sia, juga merosakkan seluruh perbuatan manusia serta melahirkan kekerasan dan kekejian ialah riyak.

Riyak adalah sebahagian dari perbuatan syirik menyekutukan Allah, dan sikap ini bersatu dalam diri orang yang takabbur. Banyak nas yang mencela sikap ini, antaranya;

Sabda Rasulullah S.a.w dalam hadith Haritsah bin Wahab, “Mahukah kalian aku beritahu tentang penghuni neraka, iaitu setiap orang yang berperangai jahat serta kasar, orang gemuk yang berlebih-lebihan dalam berjalannya dan orang-orang yang sombong.” Hadith Riwayat Bukhari

Dan dari Ibnu Mas’ud dari Nabi S.a.w, baginda bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji zarah (atom) sekalipun.” Hadith Riwayat Muslim



3. UJUB

Rasulullah SAW bersabda :Sekairanya kamu tidak pernah berdosa, tentulah aku takut kalau kamu ditimpa dosa yang lebih besar iaitu ujub (rasa kagum dengan diri sendiri = syok sendiri) (Riwayat Al Bukhari)

Apakah makna ujub ? Ujub ialah suatu perasaan yang menjadikan seseorang itu rasa hairan dengan dirinya. Rasa dirnya amat istimewa lain dari yang lain. Atau dalam istilah kasar Melayu, syok sendiri atau perasan. Akhirnya sifat ini akan menjadikan yang empunya diri terlalu membesar-besarkan diri hingga melupakan hak Allah SWT. Sifat ujub inilah juga yang menjadi sifat Azazil. Disebabkan diri Azazil yang menjadi Tok Guru kepada para Malaikat, maka Azazil merasakan dirnya sudah hebat. Maka dia engkar kepada kebenaran, walaupun dia tahu kebenaran itu adalah hakiki yang dating dari Allah SWT. Azazil sanggup menjadi Iblis laknatullah semata-mata kerana merasakan dirinya Maha Hebat dan Maha Pandai.

Maka wajib ke atas setiap muslim untuk mengabdikan diri kepada Allah menjauhi sifat ujub kerana :

a. Ujub menghalang taufik dan rahmat Allah. Apabila tiada taufik dan rahmat dari Allah, maka hinalah manusia dan binasalah hidupnya dunia dan akhirat.
b. Ujub merosakkan amal soleh.

Sebab itu, dalam kitab-kitab kuning, ada disebut ; Ketahuilah olehmu, bahawasanya ujub itu ialah menganggap agung atas amal soleh, ilmu yang diperbuat oleh dirinya sendiri. Contohnya dengan mengatakan "Akulah yang paling soleh, tidak ada orang lain yang melebihi kesolehanku". Menurut perkiraan si hamba bahawa yang menjadi sebab berhasilnya kemuliaan amal soleh itu ialah dengan sebab adanya suatu perkara, bukan dengan pengantaraan Allah, atau dengan sebab manusia itu sendiri.

Imam Al Ghazali dalam Minhajul Abidin menyatakan. Walaupun ada factor-faktor lain yang boleh mencacatkan ibadah, tetapi pokok kepada factor-faktor yang lain adalah riyak dan ujub.

4. Perkara-perkara Yang Boleh Mendorong Kepada Sifat Ujub & Riyak


Sifat riyak dan ujub ini ada dalam diri setiap manusia. Dan kedatangannya bagai angin bayu tanpa kesedaran kita. Setiap kelebihan dan nikmat anugerah Allah yang ada dalam diri kita walaupun sedikit, mampu mencetus rasa riyak. Lebih-lebih lagi jika kelebihan dan nikmat yang menjadi milik kita bukan sedikit. Antara nikmat dan kelebihan yang boleh menjadi asbab ke arah sifat riyak ialah :


a. Darah keturunan : Yaitu keluarga dan lingkungan tempat seseorang itu membesar. Seorang insan biasanya tumbuh sesuai dengan olesan tangan kedua orang tuanya. Ia akan menyerap kebiasaan-kebiasaan keduanya atau salah satunya yang positif maupun negatif, seperti sikap senang dipuji, selalu menganggap diri suci dan lain-lain lagi.

Dalam sebuah kisah pada zaman kekhalifahan Umar radhiyallahu ‘anhu disebutkan bahwa ketika Jabalah bin Al-Aiham memeluk Islam, ia mengunjungi Baitullah Al-Haram. Sewaktu tengah melakukan thawaf, tanpa sengaja seorang Arab badui menginjak kainnya. Tatkala mengetahui seorang Arab badui telah menginjak kainnya, Jabalah langsung melayangkan tangannya memukul si Arab badui tadi hingga terluka hidungnya. Si Arab badui itu pun melapor kepada Umar radhiyallahu ‘anhu mengadukan tindakan Jabalah tadi. Umar radhiyallahu ‘anhu pun memanggil Jabalah lalu berkata kepadanya: “Engkau harus diqishash wahai Jabalah!” Jabalah membalas: “Apakah engkau menjatuhkan hukum qishash atasku? Aku ini seorang bangsawan sedangkan ia (Arab badui)orang pasaran !".

Saidina Umar menjawab, "Islam telah menyamaratakan antara kalian berdua di hadapan hukum! Tidakkah engkau ketahui ? Islam telah meninggikan darjat Salman Al Farisi seorang pemuda Parsi dan menghinakan Abu Lahab kerana syirik yang dilakukan olehnya.

b. Jawatan pangkat kebesaran : Sedarlah bahawa jawatan, pangkat dan segala kebesaran tidak akan kekal pada diri mu. Akan sampai masanya, gelaran, sanjungan dan jawatan itu akan terlerai atau dileraikan dari diri mu. Tatkala itu, diri mu sudah lagi tiada di mata masyarakat, lebih-lebih lagi tiada di hati masyarakat. Maka kekalkanlah sifat kehambaan. Arwah datuk ku pernah berpesan :

Jika hamba berlagak hamba, Raja akan sayang kepadanya. TETAPI, jika raja berlagak hamba, RAJA KEPADA SEGALA RAJA (ALLAH) akan sayang kepadanya.

c. Harta yang menggunung : Harta yang dimiliki juga tidak akan kekal. Apabila saat kematian menjemput, tiga perkara akan mengiringi diri mu ke pusara. Harta mu, keluarga mu dan amalan mu. Tatkala engkau sudah bersemadi di alam barzakh, kembalilah kaum keluarga mu dan harta mu meninggalkan diri mu bersendirian di pusara. Yang hanya menemani mu adalah amalan mu. Andainya harta yang ada tidak mampu menyelamatkan diri mu, untuk apa engkau berlaku ujub dengan banyaknya harta yang menggunung ? Insaflah wahai diri. Sesungguhnya harta yang paling berharga ialah anak yang soleh yang bakal menyambung amal jariah mu setelah engkau bersemadi di alam barzakh.

d. Ilmu yang banyak, tetapi tidak beramal dengannya : Ilmu yang tidak diamal bagaikan, nasi yang tidak dimakan, akhirnya akan basi dan menjadi sumber penyakit. Mereka yang beramal dengan ilmunya akan dapat melihat kekurangan dan kelemahan diri sendiri. Tatkala itu tiada masa untuk dirinya berlaku ujub dan riyak. Kerana ilmu yang diamalkannya sering membayangkan siksaan api neraka andainya perlakuan dosa dilakukan.

e. Wajah dan paras rupa yang indah dan cantik : paras rupa yang indah dan cantik tidak akan bertahan lama. Akan sampai masanya, rupa paras akan pudar dan dimamah usia. Namun kecantikan hati yang melahirkan akhlak mulia jua kan kekal di hati masyarakat. Sifat kehambaan antara keindahan yang terhasil dari kecantikan hati. Maka kekalkanlah rasa kehambaan dalam diri mu agar engkau sedar bahawa diri mu kaya dengan sifat-seifat kelemahan dan mengharap kasih sayang dan rahmat ALLAH Yang Maha Sempurna lagi Maha Kaya.

f. Pengikut yang ramai : Pengikut yang ramai hanya menjadi bebanan kepada diri mu kerana engkau bertanggungjawab ke atas setiap diri mereka. Saidina Abu Bakar pernah berkata ketika dirinya dilantik menjadi Khalifah pertama selepas kewafatan Rasulullah SAW. Katanya : "Wahai diri ku. Aku dilantik menjadi khalifah bukanlah kerana diri ku layak. Sebaliknya jawatan khalifah ini meletakkan sebelah kaki ku di syurga dan sebelah lagi kaki ku di neraka. Andainya aku berjaya melaksanakan amanah sebagai khalifah, maka syurgalah balasan ku. Andainya aku gagal melaksanakan amanah ini, maka amat celakalah diri ini". Wahai diri, ingatlah. Bahawa ramainya pengikut datang bersamanya amanah yang sukat untuk engkau tunai. Maka bersandarlah dan bermunajatlah kepada ALLAH agar engkau diberi kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab yang telah di amanahkan kepada diri mu.

g. Kelebihan-kelebihan yang pada kebiasaan yang tidak terdapat pada orang lain : Kelebihan-kelebihan yang ALLAH anugerahkan sebenarnya adalah suatu ujian kepada diri mu apakah engkau mampu bersyukur atas nikmat-NYA, atau apakah jalan kekufuran yang engkau pilih.

Ingatlah janji ALLAH : "Andainya engkau bersyukur atas nikmat-nikmat KU, nescaya akan aku tambah nikmat KU kepada mu. Tetapi andainya engkau kufur, ingatlah sesungguhnya azab KU amat pedih"

Maka bersyukurlah atas nikmat anugerah ALLAH agar diri mu akan dilimpahi dengan nikmat-nimat yang lain. Antara nikmat yang paling besar dan agung ialah nikmat iman dan Islam. Tidak ramai manusia yang dianugerahkan nikmat iman dan Islam oleh ALLAH. Hanya mereka yang terpilih sahaja yang ALLAH berikan nikmat iman dan Islam.

Abu Talib, ayah saudara Rasulullah SAW. Beliau merupakan manusia yang paling kuat mempertahankan Rasulullah SAW. Pernah Abu Talib membuat deklarasi di Darun Nadwah kepada pembesar-pembesar Quraisy. Katanya " Andainya ada sesiapa yang ingin membunuh anak saudara ku Muhammad Bin Abdullah Bin Abdul Mutalib, hendaklah dia membunuh diri ku terlebih dahulu." ... walau sebegitu optimis pembelaan Abu Talib, namun ALLAH tidak rezkikan dirinya dengan iman dan Islam. Abu Talib menghembuskan nafasnya sebagai seorang musyrik.

Maka jagailah dan suburkanlah nikmat iman dan Islam ini agar ianya tidak ditarik kembali oleh ALLAH dari diri kita.

5. Kesan Ujub Dan Riyak Kepada Diri dan Masyarakat

Sabda Rasulullah SAW;Tiga perkara yang membinasakan manusia(Pertama) Kikir yang diikuti(dan Kedua) Hawa nafsu yang diikuti yakni mengikut perbuatan yang disukai oleh nafsunya(dan Ketiga) rasa ujub seorang akan dirinya.

Kesan dua sifat mazmumah ini terhadap diri pemiliknya ada dua jenis kerosakan yang akan menimpa dirinya.Pertama ialah pembuat ujub dan riyak akan menerima 2 keaiban. Kedua ialah pembuat riyak akan menerima 2 musibah.

Dua keaiban itu ialah :Keaiban secara samar iaitu diaibkan Allah di hadapan para malaikat. Amal ibadahnya tidak diterima oleh Allah SWT. Malah Allah memerintahkan para malaikat mencampakkan amal ibadah tersebut ke muka si pembuat ujub dan riyak.Keaiban di hadapan seluruh manusia di Padang Mahsyar, dari manusia pertama yang hidup dimukabumi iaitu Nabi Adam AS, hinggalah manusia yang terakhir hidup di kala Israfil meniup semboyan sangkakala. Maka tidak hairanlah ada juga berlaku manusia yang ujub dab riyak, diaibkan Allah di dunia lagi sebelum diaibkan di akhirat.


Dua musibah ialah :Syurga haram ke atasnya, kerana pembuat ujub dan riyak menanggung akibat buruk dari perlakuannya sehingga terjerumus ke dalam kekafiran sebagaimana yang berlaku kepada Azazil. Lantas tercabutlah iman dan terjerumus ke dalam neraka.Neraka tempat perhentiannya. Inilah tempat perhentian yang sewajarnya buat manusia yang ujub dan riyak.


Seandainya hati tidak dididik dengan iman, maka kelebihan yang dianugerahkan Allah kepada kita akan menjadi asbab untuk seseorang manusia berlaku riyak.


Apabila seseorang berlaku ujub dan riyak, maka wujudlah jurang perbezaan antara orang yang menerima nikmat Allah dan orang yang kurang beroleh nikmat. Yang menerima nikmat akan memandang rendah kepada yang hidup dalam kekurangan. Maka jurang perbezaan dan jurang perpecahan semakin besar. Hancurlah ukhwah, justeru itu memberi ruang kepada musuh Islam untuk menakluki umat Islam.


Hakikatnya, kelebihan dan nikmat yang dianugerahkan Allah buat kita di dunia ini, bukanlah wasilah untuk kita menunjuk-nunjuk dan berlakuujub atau pun riyak, sebaliknya adalah ujian dari Allah sama ada kita mampu mensyukuri nikmat tersebut dan berkongsi kelebihan yang kita miliki bersama-sama dengan orang yang kurang bernasib baik. Agar nantinya, berputik bunga ukhwah dan kasih sayang, serta hubungan sesama manusia saling lengkap-melengkapi.

Ingin ditegaskan, sifat ujub dan riyak ini mampu menyerang sesiapa sahaja. Orang yang tidak mempunyai sebarang kelebihan juga mampu menjadi ujub dan riyak. Tetapi malang dan bodohlah dirinya kerana berlaku ujub dan riyak dalam keadaan serba kekurangan. Bak kata pepatah melayu, menjadi seorang yang bodoh sombong. Dan sifat ujub dan riyak yang paling hina ialah apabila telah nyata akan kebenaran, maka kita memalingkan diri dari kebenaran, malah kita menentang dan memusuhi kebenaran. Di kala ini, martabat kita saling tidak tumpah sifat si iblis yang dilaknati Allah. Maka memang sewajarnyalah, manusia yang bersifat ujub dan riyak ini, dijerumuskan ke lembah penghinaan di dunia dan dibakar di neraka.

Seandainya seseorang Muslim benar-benar yakin dengan akhirat dan rukun iman yang lain, pastinya mereka tidak akan celupar untuk berlaku riyak. Kerana mereka sedar hakikat kejadian manusia adalah dari setitis air mani yang hina lalu dijadikan batang tubuh jasad manusia. Dan kejadian manusia itu sendiri adalah sebagai seorang HAMBA. Tidak lebih dari itu. Maka sewajarnyalah setiap perlakuan si Hamba, adalah untuk mendapat keredhaan dari Tuhannya dan bukan untuk hidangan hamba-hamba yang lain. Maka dengan sebab itulah, untuk mengatasi sifat riyak, hendaklah seseorang itu berlaku ikhlas.

6. Ubat Riyak dan Ujub serta Cara Membersihkan Hati Daripada Riyak dan ujub

Kita telah mengetahui bahawa riyak dan ujub menghapuskan amal, mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan pembinasa yang paling besar. Kalau memang begitu keadaannya, maka sudah sepatutnya kita sungguh-sungguh mengatasinya. Untuk mencabut akar umbi riyak dan ujub, maka hendaklah seseorang muslim mempunyai sifat ikhlas. Ikhlas adalah lawan kepada sifat riyak sementara tawadduk adalah lawan kepada sifat ujub. Ada beberapa peringkat untuk memperolehi sifat ikhlas dan tawadduk.

Pertama: Memotong akar atau asal-usul datangnya penyakit ini iaitu suka dipuji, terasa amat pahit sekiranya dicela dan sangat tamak untuk dimiliki apa yang dimiliki orang lain. Tiga perkara inilah yang menggerakkan seseorang bersifat riyak dan ujub. Cara mengatasinya: Kita perlu sedar bahaya riyak dan ujub dan akibat yang ditimbulkannya seperti menghalang seseorang memperoleh hati yang baik (bersih), mendapatkan taufik di dunia, tidak mendapatkan kedudukan di sisi Allah SWT di akhirat nanti, balasan yang akan diterima berupa seksaan kemurkaan yang dahsyat dan kehinaan yang nampak. Bagaimanapun, jika seorang hamba memikirkan kehinaan tersebut, kemudian membandingkan apa yang didapatkannya berbanding akibat yang diperoleh, ia dengan mudah akan menghilangkan keinginan tersebut. Seperti seseorang yang mengetahui bahawa madu itu lazat, tetapi sekiranya di dalamnya terdapat racun yang boleh mendatangkan keburukan, ia akan meninggalkan madu tersebut.

Kedua: Menghilangkan pelbagai (bisikan) yang datang mengganggunya ketika melakukan ibadah. Orang yang inginkan kebaikan akan memerangi penyakit di dalarn jiwanya dengan memotong punca-punca riyak dan ujub, menghilangkan rasa tamak dan menganggap hina pujian dan celaan orang. Jika terbetik dalam benaknya bahawa orang-orang sedang melihatnya, ia akan melawannya dengan mengatakan pada dirinya: Apa keperluan mu dengan orang-orang itu, sama ada mereka tahu. atau tidak keadaan dirimu, yang pasti Allah SWT mengetahui keadaan dirimu. Apa faedahnya orang mengetahui amal kita? Jika keinginan untuk mendapatkan pujian sedang bergejolak, ingatlah akan penyakit riyak dan ujub yang ada dalam hati yang akan menyebabkan seseorang mendapatkan murka Allah SWT dan kerugian yang besar di akhirat nanti.

Oleh itu, untuk memotong akar asal usul ujub dan riyak, serta untuk menghilangkan bisikan yang datang, seseorang muslim hendaklah :


1. Memperkemaskan ilmu Fadhu Ain dan beramal dengannya. Dengan itu seseorang muslim akan sedar bahwa dirinya adalah hamba Allah yang hina. Hanya Allah tempat dipersembahkan segala amalan, bukan kepada makhluk. Hanya kepada Allah seseorang mengharapkan balasan dan bukannya mengharap anugerah pemberian makhluk.
2. Apabila menerima nikmat, segeralah mengingati Allah dan ucapkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi. Lantas segeralah beristighfar kepada Allah kerana takut nikmat yang bakal diperolehi menjadikan kita lupa bahawa nikmat itu merupakan ujian bujat diri kita. 3. Bersegeralah mengucapkan la haula wala quwata illa billah sebagai tanda kelemahan kita sebagai makhluk Allah.
4. Apabila menerima nikmat, segeralah juga kita bandingkan nikmat yang kita perolehi itu dengan nikmat orang lain yang lebih besar dan berharga. Agar kita sedar bahwa nikmat yang kita perolehi itu tidak seberapa dan bila-bila masa sahaja Allah mampu menariknya semula. Dengan itu kita mampu bersyukur.
5. Apabila ditimpa musibah, segeralah kita membandingkan musibah tersebut dengan musibah orang yang lebih teruk dari kita. Agar nantinya kita akan bersabar dan redha dengan ketentuan Allah atas kita.
6. Sentiasalah menggauli orang yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim. Kerana ianya menjadikan kita insaf akan kedudukan kita sebagai makhluk Allah yang lemah. Maka tidak hairanlah ulamak-ulamak sufi dalam mendidik murid mereka agar tidak berlaku riyak dan ujub, anak-anak murid mereka dihina oleh mereka di khalayak ramai. Ini jelas diceritakan dalam kisah Sheikh Abu Yazid Al Bustami dan Sheikh Hassan Al Basri, mereka menghina dan mengaibkan orang-orang yang ujub dan riyak yang sedar mereka berbuat kemungkaran tetapi tidak mahu tunduk dan patuh kepada kebenaran. Maka AL Imam Al Ghazali dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub menegaskan, harus mengaibkan orang yang ujub dan riyak di khalayak ramai sebagaimana harus seorang yang zalim diumpat, agar tindak tanduk mazmumahnya tidak diikuti oleh orang lain.
7. Bermujahadatunnafsi melalui tiga peringkat yang pernah dibincang dalam pertempuran yang lalu iaitu Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Bertafakur. Memikir akan kebesaran Allah SWT.Semoga syarahan yang ringkas ini mampu kita jadikan panduan untuk terus menghampirkan diri kepada Allah SWT.


Salah Meninggalkan Ketaatan kerana Takut Riyak dan ujub

Ada orang yang meninggalkan amal kebajikan kerana takut riyak dan ujub. Ini satu sikap yang salah, sesuai dengan keinginan syaitan untuk mengajak manusia malas (beramal) dan meninggalkan kebaikan. Jika dorongan hati untuk beramalnya adalah benar dan sesuai dengan tuntunan syariat, maka jangan meninggalkan amal kerana ada bisikan yang takutkan jika beramal kerana riyak dan ujub. Yang baiknya, seseorang itu berusaha mengatasi bisikan tersebut dan menanamkan dalam dirinya malu terhadap Allah SWT dan mengganti harapan mendapat pujian manusia dengan harapan kerana Allah SWT, Fudhail bin Iyadl berkata: "Beramal kerana manusia adalah syirik, meninggalkan amal kerana manusia adalah riyak dan ujub dan ikhlas adalah ubat yang akan menyelamatkan manusia daripada kedua penyakit tersebut. "Hukamak juga ada berkata: "Barang siapa yang meninggalkan amal kerana takut tidak ikhlas maka ia telah meninggalkan ikhlas dan amal."